Labels

Cerpen (18) html (16) movie (10) modul (7) SAP Security (2) c++ (2) Business (1)

Thursday, 16 May 2024

Kisah bersendiri dan aku (Rekaan semata-mata) Part 1


Tumbesaran cemerlang 

Asiah Mardhiya Binti Khalid dilahirkan yatim piatu tanpa ibu bapa dan dibesarkan di rumah jagaan anak-anak yatim. Semenjak kecil dia selalu duduk bersendirian membaca buku dan kadang-kadang cuba untuk bergaul dengan kanak-kanak sebayanya namun tidak dihiraukan kerana dia dianggap pelik dan juga sering berkata kasar yang melukakan. Ada juga beberapa orang datang untuk membulinya tetapi dia akan menjeling tajam serta tidak segan silu memulakan perkelahian kerana dia tidak mahu diganggu. 

Asiah kini menginjak dewasa dan berpeluang memasuki asrama penuh hasil tajaan keputusan cemerlang yang diperolehinya. Dia mahu belajar bersungguh-sungguh dan mahu membuktikan kepada masyarakat yang dia juga boleh berjaya dan dipandang meskipun tiada keluarga yang menyokongnya.

Di suatu petang yang hening, ada sebuah keluarga yang kelihatan baik peramah dan beragama datang ke rumah jagaan. Mereka mahu mengambil Asiah sebagai anak angkat. Ini kerana agak sukar bagi sekolah untuk menerima pelajar yang tiada penjaga dan atas usaha penjaga rumah jagaan anak yatim akhirnya dapat mencarikan keluarga untuk Asiah. Keluarga tersebut baru sahaja kehilangan anak sulung mereka dan mahukan pengganti. Kelakuan Asiah yang dilihat daripada jauh di sekolah menarik hati keluarga angkat tersebut. Bakal ibu angkat Asiah adalah guru yang mengajar di sekolah tersebut dan dapat melihat sikap positif Asiah yang dirasakan mudah dijaga dan dapat menjaganya ketika tua nanti.


Arkan dan Ayana bersetuju untuk mengambil Asiah namun agak sukar diterima bagi pihak Asiah. Dia merasakan seolah-olah ditendang, dihina dan dihalau daripada rumah jagaan meskipun dia menerima keputusan cemerlang. Terdetik perasaan menyesal apabila mendapat keputusan sedemikian dan mendapat hukuman sebegini.


Asiah ingin melarikan diri tetapi dia tidak mempunyai simpanan yang banyak dan tidak mempunyai hala tuju yang terang. Akhirnya dia akur dengan kehendak takdir dan tinggal bersama-sama ibu bapa angkatnya yang kebetulan sama huruf awalan pada nama mereka. Sekurangnya itulah yang selalu disebut Ayana untuk menggambarkan yang mereka keluarga serasi. Permulaan hidup mereka kelihatan bahagia di mana Asiah dilayan baik meskipun sering bersikap keras kepala dan melakukan pelbagai eksperimentasi di rumah yang dilihat di internet seperti melipat kertas 4 segi lalu membakarnya untuk melihat kertas itu terbang keatas.

10 tahun kemudian, Asiah Mardhiya tumbuh besar dan belajar di universiti swasta yang terkenal di negeri itu.Ketika ramai orang mula berpasangan, dia hanya fokus belajar. Sebenarnya terdetik juga dalam hati namun tidak pernah ada lelaki yang ingin mendekatinya apatah lagi untuk berkenalan lebih rapat melainkan atas dasar projek berkumpulan sahaja. Naluri remaja Asiah terkadang meronta untuk berkawan atau sekurangnya mempunyai peneman untuk dia mengajak melakukan apa-apa aktiviti. Tidak dinafikan Asiah mempunyai kawan yang sering menemannya pergi ke kelas namun ianya adalah sebatas itu. Pergi balik kelas, makan dan pulang ke bilik masing-masing. Ketika ada aktiviti menarik atau berjalan-jalan di luar Asiah tidak diajak dan meskipun diajak, dia sedar yang dia bukan berasal daripada keluarga senang. Dia tidak mahu selalu meminta kepada ibu angkatnya meskipun Arkan dan Ayana tiada masalah soal itu. Dia sedar diri dan tidak mahu kejadian penghalauan berlaku lagi.

Arkan dan Ayana membelikan sebuah laptop yang sangat mahal kepada Asiah ketika diterima masuk ke universiti. Asiah tidak meminta namun dia merasa sangat terkejut dan sedikit menyusahkan. Dia menyarankan supaya laptop tersebut dipulangkan namun Arkan menyatakan dia sudah membuat pinjaman 5 tahun untuk pembayaran laptop tersebut. Laptop boleh dipulangkan tetapi bayaran atau potongan tidak. Penuh keterpaksaan Asiah mengambil laptop tersebut. Dalam hati dia merasa sangat bersyukur mempunyai keluarga sebaik ini, namun jauh di sudut hati dia tahu dia bukan waris dan bila-bila masa layak ditendang atau diungkit jasa.

Asiah menemukan beberapa aktiviti volenteer yang berlaku di kampus. Dia ingin menyertai lalu mengajak kawannya Indah dan Aini. Mereka berdualah yang selalu menemani Asiah ke kelas dan mereka sering melakukan projek bersama-sama. Indah dan Aini merupakan wanita yang sedikit konservatif di mana mereka hanya suka terperap dalam bilik dan tidak mahu keluar sangat bersosial. Asiah kurang pasti akan sebabnya namun setiap kali diajak untuk beraktiviti mereka enggan. Salah satu sebab Asiah mahu join program seperti ini selain meluaskan kenalan, dapat juga makanan-makanan percuma yang boleh diambil sebagai stok makanannya dua tiga hari.

Mulanya Asiah sedih kerana setiap kali menghadiri program dia bersendirian dan kebanyakan orang dalam program itu sudah saling mengenali. Dia seperti seorang asing yang cuba untuk menyesuaikan diri dengan kekoknya. Ada juga yang ngam ketika dalam program namun selepas habis program, mereka semua senyap dan tidak lagi saling berhubungan. Asiah mahukan kawan namun sepanjang berpuluh-puluh program yang disertai tiada satu kawan yang tetap hadir dalam hidupnya melainkan rapat cuma sebentar sahaja.

Asiah akhirnya lali dengan situasi ini dan suatu ketika dia melalui sebuah lorong menuju ke bangunan biliknya, dia melihat ada taburan daun ros merah berbentuk love di hadapan tingkap bilik perempuan berserta lilin. Dia teringat malam tadi yang dia ada mendengar ada suara lelaki menyanyikan lagu-lagu , indah yang awalnya disangka khayalan. Rupanya sebuah kisah percintaan romantik yang berlaku.Setiap kali melalui jalan-jalan di kafe pasti ada pasangan bergelak ketawa atau sekumpulan kawan yang bergurau yang mampu membuatkan Asiah cemburu.

Dia teringin mempunyai situasi tersebut namun suasana tersebut belum pernah hadir dalam hidupnya. Dia ada juga menonton kisah cinta remaja berlatarkan suasana kolej dan seumpama dengannya. Malangnya tiada satu babak pun dalam drama itu berlaku dalam hidupnya. Terlanggar orang, orang tegur dahulu, tertinggal barang, orang senyum ke dia dan tiada. Kadang sempat dia terfikir apakah salahnya hidup dia namun dari segi positif dia memikirkan mungkin tuhan sedang menyiapkan lelaki yang baik untuknya ketika dewasa nanti. Tuhan bersama- sama orang yang sabar.


Setelah beberapa semester akhirnya Asiah berjaya mengumpulkan duit lebih untuk berbelanja sedikit mewah. Sebelum ini dia hanya makan roti gardenia dan biskut kering untuk mengalas perut. Pulang dari kelas seorang diri, ada seorang jurujual menghampirinya dan menawarkan suatu pakej. Dengar sahaja dulu, saran jurujual tersebut. Setelah mendengar penjelasan Asiah rasa dia tidak memerlukan kad istimewa tersebut kerana dia bukan pembeli atau kaki shopping yang boleh mengumpul banyak point untuk menebus barang percuma. Namun setelah dipujuk-pujuk akhirnya dia terbabas dan tewas. Habis segala simpanannya terbelanja untuk benda yang tidak perlu. Balik ke bilik dia mula menyumpah diri kerana terikut kata-kata jurujual tersebut dan harus meneruskan rutin makan roti kosong dan biskut kering.Ketika ada program nanti baru dapat merasa makan nasi.

Namun itu bukan masalah besar yang difikirkan dalam kepalanya saat ini, dia lebih ingin kepada peneman atau seseorang yang boleh kemana-mana dengannya. Tidak kiralah sebutannya, bff,besties atau bf. Dia cuma mahukan sekurang-kurangnya seorang untuk mencurah cerita. Aini akan melangsungkan perkahwinan mendadak tahun ini dan semestinya akan selalu bersama suaminya. Indah pula tidak semena-mena menyertai persatuan ketua pelajar dan sering sibuk dengan aktiviti kampus berkait hal ehwal pelajar dengan pengurusan.

Asiah keseorangan seperti biasa dan kali ini dia hanya menemui kawannya di kelas yang kadangkala dihadiri mereka. Sebelum ini mereka ada juga berjalan bersama-sama menuju kelas namun sekarang tidak lagi.Kebanyakan orang lain dalam kelas tersebut hanya menganggap dia sebagai kawan biasa bukanlah kawan rapat untuk bercerita rahsia. Roomate Asiah setiap semester bertukar-tukar dan kebanyakan bukanlah jenis mahu rapat dengan Asiah melainkan mahu buat hal sendiri.

Semester akhir tiba jua dimana pelajar-pelajar harus menjalani praktikal selama beberapa bulan dan bergraduasi setelah itu.Asiah bertuah kerana dia mendapat pekerjaan praktikal di kota raya di sebuah syarikat terkemuka. Syarikat tersebut sering menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dan Asiah sering menjadi jawatankuasa untuk mendapatkan makanan percuma serta pengalaman.

Ketika praktikal Asiah hampir tamat, ada seorang lelaki yang juga aktif dalam aktiviti volenteer menyatakan padanya yang dia rasa Asiah memegang jawatan tinggi di kampus. Dinafikan berkali-kali kerana itulah kebenarannya namun disambut oleh rasa tidak percaya. Kata lelaki itu, "Selepas ini, saya akan cari kamu balik dan menunjukkan tanggapan saya itu betul". Asiah berasa terkejut dan tidak menyangka menerima perkataan sedemikian.

Tanpa sedar Asiah setelah tamat praktikal selalu menanti dan menunggu kehadiran lelaki tersebut untuk menjumpainya. Pada majlis graduasi Asiah, tiada siapa yang datang merayakannya. Dia hanya duduk seorang memerhatikan orang lain bergambar dengan keluarga dan kawan-kawan. Keluarga angkatnya tidak dapat hadir kerana kereta rosak. Asiah teringin mempunyai gambar namun tiada jurugambar atau kawan-kawan yang boleh mengambil gambar. Dia juga ingin ada foto beramai-ramai baling kon atau apa-apa posing namun tiada. Dia pulang ke rumah dengan bas membawa galeri kosong. Hanya gambar selfie yang biasa kerana kamera telefon berkualiti rendah.

Diringkaskan cerita Asiah bekerja kini di sebuah syarikat swasta di kota raya jauh dari keluarga. Setelah beberapa tahun bekerja dia sedar rutin harian dia tidak ubah daripada pergi kerja balik kerja.Hubungan dengan kawan-kawan belajar seolah-olah terputus melainkan hanya sebagai follower di media sosial. Apa yang mereka pos barulah dia tahu.


Asiah selalu menyebut kepada Aini dan Indah jika ada apa-apa aktiviti atau pertolongan tenaga yang diperlukan boleh panggil dia namun sampai graduasi dan bekerja dia tidak mendapatkannya. Mungkinkah dia tidak mempunyai kawan yang mempercayainya ?

Hidup kotaraya

Cuti sabtu ahad. Dia teringin sekali mempunyai kawan-kawan untuk melepak sekali atau keluar hujung minggu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk install applikasi michat , berkenalan dengan orang sekitar tidak kira lelaki atau perempuan. Malangnya disitu ramai yang menawarkan khidmat seks yang tidak sesuai dengan tujuan Asiah.Ketika mesej dengan lelaki bertanya khabar atau apa, tiba-tiba gambar tidak senonoh dihantar. Asiah lalu memadam applikasi tersebut. Asiah kemudiannya memuat turun applikasi Omi setelah membaca review yang bagus dan di situ dia mula berkenalan dengan beberapa orang. Kawan perempuan yang dia kenal dan berjumpa berhadapan adalah Syakira. Dia sangat ramah dan membelanja Asiah ketika keluar makan buat pertama kali. Syakira ingin memperkenalkan bisnes part time menjual herba ubatan kepada Asiah dan Asiah bersetuju. Sekali lagi Asiah terpedaya dan terjebak dengan skim MLM.Asiah mempunyai hutang hampir 30ribu dengan bank menggunakan pinjaman peribadi. Dia tidak mahu bercerita dengan Ayana kerana dia tahu dia pasti akan dimarahi kerana mudah terpengaruh dan tidak berbincang dengan keluarga dulu. Kesusahan dan kepahitan ini ditelan seorang.


Namun Asiah tidak serik. Dia yakin dalam applikasi online ada orang yang baik dan mungkin mempunyai kimia yang sama dengannya. Ini kerana dia sering juga menyertai aktiviti volenteer yang dipos dalam media sosial meskipun tidak mengenal satu orang pun dalam program tersebut. Dia ada niat untuk mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang ahli dalam program tersebut namun begitulah tradisinya selepas program akan terputus hubungan. Hanya menjadi penonton story seketika atau pembalas story sahaja. Asiah teruskan perkenalan online dalam applikasi dan mula mengenal lelaki di situ. Namun setiap kali selepas perjumpaan sahaja lelaki tersebut tidak mahu lagi meneruskan perjumpaan seterusnya. Ketika diasak dengan soalan, mereka hanya mampu mengatakan awak terlalu baik. Asiah yang berdarah muda dan mahu diterima sanggup merubah dirinya dengan memakai tudung yang lebih singkat, berpakaian ketat dan mahu menerima pergaulan bebas seperti perempuan-perempuan lain yang mempunyai pasangan.

Mulanya hanya berpegang tangan dan tanpa sedar Asiah menjumpai dirinya di dalam bilik hotel bersama-sama lelaki online yang dia kenali di applikasi. Balik daripada situasi itu, dia mulai menangis dan merasa jijik dengan diri sendiri. Dia hanya ingin nikmat bercinta di mana ada lelaki selalu bertanya khabar, belikan hadiah atau ambil berat namun bukan sampai terlanjur sebegini. Entah apa salahnya sekarang Asiah sudah tidak suci lagi.

Bila memikirkan hal itu Asiah merasa sedih dan berpendapat bahawa dia tidak layak untuk sesiapa pun. Setiap hari dia berdoa supaya tidak mengandung dan lelaki itu mahu bertanggungjawab dengan syarat dia harus ke hotel lagi. Asiah lalu memblok lelaki tersebut dan bergantung harap pada tuhan untuk membantu dia dalam situasi ini. Tidak dapat dibayangkan sekiranya dia pulang ke kampung dengan perut besar tanpa suami.

Setelah beberapa minggu, akhirnya doanya terkabul. Asiah datang bulan. Alhamdulillah. Asiah meloncat-loncat kegembiraan.

Sejak peristiwa itu Asiah mahu lebih berhati-hati dalam perkenalan dan tidah mahu terpedaya dengan kata-kata lelaki. Cukuplah pengalaman hitam dahulu mengajar dia. Nama Setra seakan ular hitam mematuk yang tidak mahu dikenang lagi.


bersambung................


Kereta dan masalahnya

Asiah ingin membeli kereta setelah menyimpan dan bekerja selama hampir 3 tahun.

Dia mengajak sanak saudara terdekat atau kawan namun tiada seorang yang mahu meskipun dikatakan akan dibayar upah kepada kawan sekerja. Masing-masing seolah tidak mahu terlibat dalam hidupnya kerana kehidupan sosial di tempat kerja hampir tiada. Masing- masing hanya menatap komputer sepanjang tempoh kerja dan berkomunikasi bila perlu sahaja.

Asiah akhirnya membeli kereta terpakai itu dengan harga RM5000 setelah puas hati dengan uji pandu kereta tersebut. Setelah seminggu menggunakan kereta tersebut mula menunjukkan masalah teknikal dengan suka berhenti tiba-tiba apabila terlalu panas atau menekan enjin terlalu kuat. Beberapa kali kereta Asiah termati ketika naik bukit kerana memerlukan tenaga enjin yang kuat. Pertama kali di lebuhraya besar ketika Asiah berada di laluan paling kiri sekali. Mujur ketika ada momentum sedikit selepas enjin mati, Asiah sempat parkir di bahu jalan. Dia termangu-mangu. Membuka senarai kenalan dalam telefon jika ada yang boleh membantu tetapi tiada. Dia sedar dia tiada kawan langsung yang boleh minta tolong. Dia cuba menghubungi melalui mesej wasap kawan sekerja yang perempuan namun mereka semua senyap. Lelaki kebanyakan sudah berkahwin,jadi dia mesej juga pada waktu terdesak ini jika ada sebarang kenalan mereka di kawasan berhampiran yang boleh dipercayai. Malangnya semua jawapan tidak membantu dan tidak membalas mesejnya.

Dia terkapai keseorangan di tepi lebuh raya. Housemate semua tiada kereta dan mereka juga tidak dapat membantu. Panas membahang duduk di dalam kereta membuatkan Asiah memilih ingin duduk di tepi semak samun. Beberapa jam dia tersadai menunggu bantuan, up story orang hanya tinggalkan like. Kulit dia juga puas digigit kerengga, Di saat cuaca yang sangat terik ini, tekak merasa dahaga dan perut berkeroncong dah tidak tertahan dengan situasi ini, Asiah berdoa dengan penuh pengharapan kepada tuhannya supaya ada bantuan muncul.

Seketika kemudian  muncul orang PLUS bertanya perihal kereta. Atas bantuan mereka, kereta tersebut dihantar ke bengkel. Alhamdulillah.


Pulang kerumah dia hanya ingin merehatkan diri dan bersyukur selamat sampai rumah. Dia sempat berfikir jika dia perlu bermalam di dalam kereta jika tiada bantuan hadir.

Asiah membawa kereta itu pulang dan ingin memberinya kepada keluarga. Namun kejadian yang boleh disangka berlaku. Kereta itu tidak boleh start ketika berada di kampung. Akhirnya bawalah kereta itu ke bengkel berhampiran dan ternyata setelah tersadai hampir 3 bulan di bengkel, kereta itu siap. Namun masalah sama masih berlaku. Untuk meminta pemulangan duit tidak sampai hati kerana itu merupakan kawan baik Arkan. Hubungan mereka sudah tidak berapa baik kerana kereta itu mengambil masa terlalu lama untuk siap dan Ayana sudah sering menelefon hampir setiap hari bertanyakan tentang kereta.

Setelah sekian lama memakai kereta itu, dan asyik rosak setiap bulan,Asiah mengambil keputusan untuk menjualnya. Dia sudah menghabiskan hampir RM10 ribu untuk membaiki kereta tersebut serta mengeluarkan wang KWSP untuk tujuan itu namun masih juga rosak pada tempat berbeza-beza.

Dia memutuskan untk menjual dengan harga RM3500 jauh berbeza dengan modal yang dia pernah keluarkan dan juga harga dia beli kerana dia sedar kereta ini ada masalahnya.Lalu dia mengepos iklan kereta tersebut dalam mudah.my dan juga facebook.

Ada beberapa orang yang datang mahu membeli, ada yang datang tengok beberapa orang lelaki sedang Asiah hanya seorang sahaja. Housemate ada diajak untuk menemani namun mereka lebih suka duduk di bilik. Asiah yang tak begitu mahir hanya mengiyakan namun dia berterus terang terhadap apa yang sudah dilakukannya seperti sudah tukar minyak enjin, minyak gear dan sewaktu dengannya serta menceritakan kekurangan kereta tersebut.

Setelah beberapa orang hanya datang melihat dan berkata mahu balik dan fikir dahulu, Asiah hanya menerima kerana dia sedar ini memerlukan masa. Suatu ketika ada sebuah keluarga datang untuk tengok kereta dan mereka mengatakan secara serius mahu terus mengambil dan membayar pada waktu itu juga. Gembira bukan kepalang Asiah mendengarnya namun apa yang terjadi adalah mereka menipu dan membawa lari kereta tersebut. Asiah rugi. Dia menangis.

Dianggap kaya berduit

Soal kereta sudah terjual, seluruh keluarga sudah mengetahuinya dan mereka mengharapkan sedikit habuan jika ada. Namun bagi Asiah dia tidak mahu menggusarkan hati keluarga menyatakan dia tidak peroleh keuntungan tetapi hanya mengatakan kereta tersebut sudah dijual. Saat ditanya berapakah harga yang dijual Asiah cuma tersenyum.

Melalui riak wajah Ayana dan Arkan dapat melihat yang mereka sedikit terkilan kerana tidak mendapat sedikit wang pun hasil jualan sedangkan mereka telah membantu perihal bengkel sebelum ini. Ketika bicara mengenai kereta timbul, Ayana mula marah dan mengatakan penuh emosi bahawa sebelum melakukan apa-apa harus berbincang dengan keluarga. Usah buat keputusan sendiri! Sebelum beli kereta, bincang! Selepas ini hanya kereta baru! Ayana kadang-kadang menjerit perihal kereta sehinggakan yang membuat Asiah menangis bukan mengenai kereta lagi tetapi sikap keluarganya kepadanya.

Dalam hati Asiah berdesis, tetapi duit modal semua guna duit sendiri bukan guna duit keluarga.


Diragut dan cacat

Asiah yang sedar ekonominya tidak begitu membaik, dia mengambil keputusan untuk membuat kerja part time selepas kerja 8-5 nya. Dia selalu memakai baju gelap dan tidak memakai mekap sangat kerana tidak mahu dipandang atau ditegur oleh sesiapa langsung sehingga tiba di rumah. Dia pulang berjalan kaki di waktu malam sambil menjinjit wang gaji yang baru diterimanya hari ini setelah sebulan berkerja di restoran berhampiran. Sewaktu berkira-kira ingin membeli makanan enak menggunakan wang gaji tersebut ketika berjalan kaki, berlaku kejadian yang tidak diingini dimana Asiah diragut dan terpelanting di jalan lalu dilanggar kereta. Sebelah badannya tersagat pada jalan raya meninggalkan parut yang dalam. Mukanya juga sebelah menjadi hodoh. Jalan berlumur darah.

Orang-orang hanya melihat. Polis yang ada di situ juga tidak dapat mengesan kejadian tersebut yang berlaku di hadapan mata mereka.

Asiah menangis bukan kerana kesakitan atau tidak dipedulikan tetapi kerana wang kerjanya habis dikebas. Asiah tidak dapat bangun kerana kakinya sakit. Setelah 10 ke 15 minit baru orang datang memberi tisu kepadanya untuk mengelap darah yang mengalir sambil mengajukan soalan bertubi-tubi.

Dari riak muka masing-masing seolah ingin mengatakan, inilah padahnya berjalan seorang diri di tengah malam. Asiah tidak mahu mempedulikan semua itu, dia pulang ke rumah dengan berjalan terhinjut-hinjut tanpa dibantu sesiapa kerana mahu segera membalut luka serta rehat. Hanya diri sendiri yang membantu dan mata-mata kasihan yang mengiringi perjalanannya itu.Asiah melihat cermin di rumahnya, mukanya sebelah berparut, tidak lawa lagi. Dalam hati, "Sudahlah tidak suci, hodoh, siapalah yang nak kat aq ni."


Masuk hospital

Setelah beberapa bulan, ketika naik bas menuju ke tempat kerja part time baru, Asiah menerima khabar dalam grup wasap family bahawa Pakciknya masuk hospital. Dia lalu mengambil keputusan untuk melawat pakcik saudaranya pada hari cuti. Dia membawa buah - buahan sebagai tanda cenderahati. Niatnya untuk menambah semangat pesakit yang merupakan saudaranya dan juga merapatkan silaturrahim. Tanpa disangka kehadirannya diperlekeh saat isu pekerjaan dibangkitkan. Ketika mereka mengetahui yang Asiah datang menaiki bas, mereka sangat terkejut dan menyatakan, "ingatkan ada kereta..." Asiah setelah berbasa basi akhirnya mengundur diri dalam keadaan bersedih.Dia bersyukur juga kerana tiada yang menegur mengenai mukanya yang memakai mask untuk menutup kesan parut kemalangan baru-baru ini.

Fikirannya melayang memikirkan apakah ketentuan kejayaan dalam keluarga hanya berdasarkan kereta semata-mata. Ketika melintas jalan, tanpa sedar ada kereta yang keluar dari selekoh dan melanggar Asiah. Asiah terjatuh dan tayar kereta tersebut melenyek kaki Asiah yang baru baik daripada luka kemalangan sebelum ini. Asiah mengaduh kesakitan.

Pemandu kereta tersebut memperlahan kereta dan melihat Asiah masih hidup serta bernafas, meneruskan perjalanan keretanya. "Mungkin dia dalam keadaan terburu-buru,"desis Asiah.

Asiah tidak larat hendak bangun, dia hanya mengengsot ke tepi jalan. Terasa seperti ada pendarahan dalam kaki meskipun tidak nampak luka di luar. Pejalan kaki yang melalui laluan itu hanya melihat Asiah yang duduk di tepi jalan. Orang yang menaiki motor sekali sekala memberi hon kepadanya sambil menggeleng kepala.
Asiah sedar, tidak akan ada siapa bertanya perihal keadaannya yang sakit itu. Mereka seolah menganggap dia seperti pengemis atau mungkin orang gila yang terlepas daripada hospital berdekatan. Dia menggagahkan diri dan mngumpul tenaga berjalan perlahan untuk pulang ke rumah.

Kaki semakin sakit dari hari ke hari

Asiah ketika pulang ke rumah melihat ada lebam dan benjolan besar pada kakinya. Dia menganggap yang itu mungkin hanya sakit sementara dan akan pulih keesokan harinya namun dia silap. Sakit itu semakin menikam ke tulang hari demi hari sehinggakan kakinya tidak dapat dibengkokkan.

Asiah mula risau dan dia tidak berfikir tentang kecantikan muka atau fizikal lagi melainkan kesihatan itulah lebih penting daripada segala-galanya. Dia memohon kepada tuhan untuk disembuhkan sakit kaki itu. Muka hodoh tidak mengapa asalkan tidak cacat fizikal yang sampai-sampai terpaksa menyusahkan orang untuk hidup.

Dia berdoa dengan hati yang penuh berharap. Tiada siapa yang mampu menolongnya ketika di perantauan ini. Keluarga angkat memang sudah sedia pelbagai masalah dengan ada orang mencuri lori Arkan serta kawan Arkan memberi beban kepadanya.

Asiah tidak mahu berkongsi kesakitan yang masih boleh ditanggung ini kerana dia sudah cukup bersyukur keluarga angkat membelanya sehingga dewasa ini. Dia tidak mahu lupa status asalnya iaitu anak yatim piatu sebatang kara, biar dia ingat sendiri bukan orang lain yang mengingatkan kerana itu berbunyi lebih pedih.

Akhirnya Asiah menjumpai seorang tukang urut terpercaya melalui Facebook dan melalui review yang ditulis, kebanyakan pesakit berhasil sembuh. Asiah berharap inilah hasil doanya dan dapat membantu dia berjalan secara normal tanpa menahan rasa sakit lagi.


Pelangi indah nian menyinar

Asiah bersyukur teramat sangat kerana dia ditawarkan kenaikan gaji di tempat kerja dan kakinya juga sudah pulih sepenuhnya.

Hari-hari yang dilalui terasa nikmat meskipun dia tidak mempunyai kawan untuk berkongsi rasa di tempat kerja atau kawan untuk menemani dia makan ketika lunch. 

Asiah berulang alik menaiki bas ke tempat kerjanya dan dia selalu memilih pakaian yang sederhana atau agak murah serta selekeh kerana tidak mahu diperhatikan banyak mata di dalam bas.

Suatu hari, ketika dia berada di tempat kerja, ada beberapa isu berbangkit yang harus ditanyakan kepada bosnya namun kelibat bos yang baru dilihat tiba-tiba tiada di tempatnya. Asiah lalu bertanya kepada pekerja yang duduk berhampiran bos. "Bos tak balik lagi kan?," Lelaki tersebut menjawab, "Rasanya ya sebab beg dia ada lagi,". Asiah mengambil keputusan untuk menunggu bosnya datang. Sambil menunggu, lelaki tersebut yang sangat indah rupanya bertanya,"Ada apa tu nak jumpa dia?". Asiah yang tidak berfikir panjang dan hanya mahu mengisi masa menunggu mula bercerita, "Oh sebenarnya alhamdulillah saya dapat tawaran naik gaji bulan ni tapi tak sure slip gaji masih tak update dan jumlah akaun masuk dalam bank tak sama seperti yang ditandatangani dalam surat sebelum ni."

Lelaki tersebut nampak lebih berminat untuk teruskan perbualan. Dia kemudiannya meminta nombor telefon dan nama penuh. Asiah tanpa berfikir panjang memberikan maklumat. Dalam hatinya dia sedar, mustahil lelaki kacak setaraf model mahu berhubungan serius dengannya yang selekeh ini. Dia mungkin hanya mahu tahu cara-cara atau langkah-langkah yang harus dilakukan untuk dapat naik gaji sahaja.

Setelah berborak 13 minit, Asiah meminta diri meskipun bos masih belum datang ke meja kerjanya. Ini kerana kerjanya sebagai customer service harus menepati masa, tidak boleh terlambat walaupun 1 minit. "Ni saya ambil short break untuk jumpa bos, masa saya nak dekat habis, saya kena sambung kerja." Lelaki tersebut yang bernama Muhaimin menjawab, "Ala...baru nak sembang lama-lama."

Asiah tergelak kecil dalam hati, dia juga menyetujuinya kerana sudah sangat lama dia tidak mempunyai kawan untuk berbicara selain soal kerja.

"Awak duduk mana?" tanya Muhaimin. "Saya duduk dekat hujung sekali, dekat bucu. Kawasan paling terpencil dalam ofis ni, hehe."jenaka Asiah sambil berlalu pergi.

Asiah membuka komputer dan ingin menukar status sistem kepada 'available' sebelum telefonnya bergetar menerima mesej. Jarang sekali dia menerima mesej personal melainkan iklan perniagaan atau ajakan ejen menyertai kumpulan mereka. Ketika dia membuka ternyata ada mesej salam yang diberi. Asiah tersenyum sendiri kerana cepat betul Muhaimin ni mesej padahal dia baru sahaja berlalu pergi dari tempatnya. Asiah lalu menyambung kerjanya di komputer dengan mengaktifkan beberapa sistem-sistem yang tertutup sebelum Teamnya menerima mesej baru. 'Aii, seen je mesej?'

Asiah ingin membalas mesej di Teams namun sesaat kemudian ada panggilan masuk daripada pelanggan. Asiah harus melayan dan menyelesaikan isu pelanggan terlebih dahulu kerana itu merupakan skop kerjanya.

Ketika berbicara dengan pelanggan di dalam talian, Asiah dapat melihat dengan jelas Muhaimin datang dan membelek-belek kertas yang terdapat di bahagian stor di hadapan meja kerja Asiah. Setelah tiada kertas untuk dibelek, dia membuka pintu dan laci-laci di situ seolah -olah sibuk mencari sesuatu atau dalam kata lain berpura-pura sibuk di stor. Dalam hati Asiah, "Sepanjang aku kerja sini, tak pernah ada orang datang tengok benda dekat stor ni." Asiah mula menyiapkan report untuk panggilan yang baru diterimanya kerana setiap panggilan mesti direkodkan dalam sistem bertulis. Ketika panggilan selesai, meluru Muhaimin kearahnya dan dia pun berkata,"Penat cari Asiah duk mana, rupanya duk kat sini."

Asiah lalu membalas,"Haah, ni penjuru ofis dan kawasan terpencil. Jadi tidak hairanlah."

.Rakan sekerja hanya memerhati kerana tidak pernah ada orang asing datang ke sini. Asiah yang sedar pandangan rakannya mula bertanya, "Ada apa datang sini?"

Muhaimin menjawab, "Saja nak sembang2.." sebelum boleh berbicara panjang ada panggilan masuk untuk Asiah. Muhaimin menunggu sehingga panggilan itu selesai. Dia mahu meneruskan perbualan lagi dengan Asiah. Namun sebelum sempat berkata lebih panjang, ada panggilan lagi untuk Asiah. Nampaknya ini hari yang agak sibuk. Dia harus meneruskan kerja dan Muhaimin nampaknya terpaksa berlalu pergi kerana tidak mahu mengganggu kerja Asiah.Dengan raut kecewa yang dapat dilihat dan dirasai Asiah juga.

Sejak hari itu, Muhaimin selalu bertegur dengan Asiah dalam Teams dan mereka selalu bertukar cerita. Saling follow di instagram dan dari situ dia mengetahui yang Muhaimin merupakan seorang model sambilan. Dia memperagakan pakaian seksi yang tidak berapa disukai Asiah.


Pelangi indah akan pergi 

Suatu masa ada kemasukan orang baru di tempat kerja Asiah yang bernama Amirul. Dia berumur 20 tahun dan jauh lebih muda dari Asiah. Amirul masuk kerja bersama-sama dengan Janagan. Asiah yang menganggap mereka seperti junior menceritakan pengalamannya ketika mula masuk kerja serta perkara-perkara penting yang harus diketahui.Tanpa sedar Amirul memberi perhatian lebih kepada Asiah atas rasa sangat hormat. Perhatian yang diberikan disedari Asiah lalu menyangka itu cinta. Padahal Amirul sudah mempunyai teman wanita yang sudah sedia diketahui Asiah.

Suatu ketika sewaktu Asiah sedang bekerja, Amirul menghantar mesej di dalam Teams bertanyakan, "hang lapar tak?" Asiah dengan nada bergurau kerana tahu Amirul sedang berehat di rumah bukan di ofis ketika itu hanya mengatakan, "berkeroncong perut nih!", Amirul selanjutnya menjawab,"OK aku datang, nak makan apa?" Asiah menerima panggilan masuk untuk kerja customer servicenya. Lalu selepas panggilan itu tamat, dia membalas mesej Amirul menulis chicken chop. Tidak semena-mena ada ketukan kerusi disebelahnya. Ternyata Amirul betul-betul datang disebelahnya dengan membawa makanan! Pristiwa ini sungguh mengejutkan Asiah kerana tidak pernah seumur hidupnya siapa pun datang ketika dia menyatakan lapar atau ketika seseorang bertanyakan dia sudah makan atau belum. Asiah lalu ingin bersangka baik mungkin dia ada urusan luar. "Eh hg bkn kt rmh ke? Asal keluar ni? Mak hang tau tak?" Amirul menjawab selamba,"Aku bosan kat rumah baik aku datang ofis sembang dengan hang." Asiah berasa sangat tidak selesa dan rasa ingin seperti menyorok kerana dia tidak mahu mengurangkan masa rehat Amirul. Dia akan masuk shif pagi nanti dan akan ada sedikit masa saja nak rehat. Amirul menyatakan yang dia tidak boleh tidur. Asiah lalu menyatakan,"Pejam je mata nanti tidurlah tu." Asiah lalu bangun dan menyatakan ingin pergi ke tandas. Kemudian dia duduk di bawah meja orang lain menunggu sehingga Amirul pulang rumah.

Kelihatan kaki Amirul mundar mandir mencari serta menunggu Asiah dengan lama. Telefon Asiah sengaja ditinggalkan di meja kerja jadi dia tidak dapat dihubungi. Setelah hampir setengah jam lebih akhirnya Amirul pulang dan Asiah berasa sangat lega. Asiah kemudiannya sedar dia harus lebih berjaga-jaga dalam percakapannya selepas ini.

Terbit matahari adalah suatu rahmat

Asiah tidak mahu mesej Amirul lagi dan hubungan mereka tidak lagi rapat. Asiah sedar dia sudah berusia dan tidak secantik serta secerah teman wanita Amirul. Hubungan mereka kini sebatas seorang yang melihat story masing-masing dan membalas story. Tidak lagi bertanya khabar semena-mena atau yang sewaktu dengannya. Amirul tidak lama kemudian berhenti kerja. Dengarnya kerana dapat tawaran kerja yang lebih baik.

Di suatu hujung minggu, ketika Asiah pergi hiking, dia menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali.'Ini Asiah ke? Kenal Amirul tak?' Asiah lalu membalas, 'Amirul dah lama berhenti.'
Dipendekkan cerita itu merupakan teman wanita Amirul yang ingin memarahi Asiah kerana mengganggu teman lelakinya. Asiah berasa sangat sedih kerana dimarahi dan sangat terkilan kerana Amirul juga tidak pernah memberitahu bahawa teman wanitanya tidak suka ada perempuan membalas story atau memberi mesej. Jika diberitahu secara baik tentu Asiah akan berhenti melakukannya.
Pulang daripada hiking sendirian, dia berasa penat fizikal dan emosi. Dia tidak mempunyai sesiapapun untuk meluahkan emosi.
Untuk menulis di wall fb atau di story mengenai luahan hati sangatlah tidak matang baginya.
Di penjuru katil, Asiah menangis sendirian terkenang kata-kata teman wanita Amirul yang menyatakan seolah dia ini penyondol lelaki orang serta pelbagai carutan lain.

Telah hampir 2 bulan Muhaimin bertukar kerja dan Asiah tidak sempat mengucapkan selamat tinggal atau memberikan dia hadiah perpisahan. Perkenalan Asiah dengan Muhaimin dan Amirul tidak berakhir dengan baik.

Di tingkat 1 bangunan tempat kerja Asiah ramah memberi salam kepada semua orang, Naik ke tingkat 2, tingkat kerjanya juga dia banyak memberikan senyuman untuk menunjukkan yang dia mudah di dekati untuk menjadi kawan serta sahabat.
Tanpa sedar di tingkat 1 ada seorang lelaki yang terkesan dengan keramahan Asiah. Dia bernama Amir. Mengetahui Asiah selalu pergi kerja naik bas, Amir melakukan inisiatif sendiri dengan ingin selalu mengambil dan menghantar Asiah pergi dan pulang kerja ke stesen bas. Amir tamat kerja sejam awal daripada Asiah namun dia sanggup menunggu di depan pintu depan sehingga Asiah datang. Mulanya Asiah senang menerima pelawaan itu dengan berfikir kawan menolong kawan. 
Amir selalu juga membeli makanan untuk Asiah sewaktu mengambil Asiah turun daripada bas. Kek, nasi dan pelbagai lagi. Asiah berasa kurang senang namun Amir selalu menyatakan dia beli terlebih, ada promosi dan lain-lain sebab. Sehingga suatu saat Asiah rasa dia tidak mahu pulang dengan Amir lagi kerana dia tidak mahu memberi sebarang harapan atau menyusahkan Amir lagi.Memang mulanya Asiah berasa sangat seronok dan rasa mulai dihargai dalam masyarakat. Namun suatu masa dia berfikir seperti menyusahkan kerana dia tidak pernah memberi apa-apa kembali. Dia tidak reti memasak makanan sedap untuk diberikan kepada Amir.

Ketika mahu pulang, Asiah masuk tandas dan berfikir jika bangunan ini ada pintu lain selain pintu depan untuk keluar kerana dia tidak mahu berjumpa dengan Amir tetapi tidak ada. Di dalam tandas, kebetulan ada perempuan lain masuk dan dia kelihatan seperti mahu pulang selepas itu. Asiah memberanikan diri bertanyakan jika boleh membantu menumpangkan dia sehingga ke stesen bas hari itu. Perempuan itu bersetuju membantu. Amir dengan muka berharap di pintu depan merasa sangat kecewa bila Asiah menyatakan tidak mahu pulang bersama-samanya.
Asiah buat muka tidak bersalah kerana dia sudah menghantar mesej menyatakan supaya Amir pulang dahulu namun seperti biasa Amir akan membiarkan mesej itu dan tetap menunggu.

Hari-hari sebelum itu, Asiah ada order grab siap-siap dan ketika Amir menunggu Asiah menjawab yang grab sudah menunggu. Amir lalu menyatakan supaya batalkan grab itu namun Asiah kata sudah membayar. Amir lalu menyatakan esok jangan order grab lagi, saya ada.

Peristiwa Asiah menaiki kereta dengan kawan perempuan yang baru dikenali Asiah dalam tandas itu sangat mengesankan hati Amir. Malam itu Amir menelefon Asiah seakan seperti baru lepas menangis.
"Saya nak hantar awak pergi kerja dengan ambil awak.." Asiah membalas saya tidak mahu menyusahkan awak. "Kalau saya susah saya bagitahu, saya tak rasa berat pun. Sebenarnya Asiah saya ingin memberitahu awak sesuatu." Sesuatu yang dapat diagak namun tidak mampu diberikan Asiah.


No comments:

Post a Comment